Isnin, 14 April 2014

Kelebihan Atau Hikmah Solat Berjamaah

Salam sejahtera kepada semua, bersyukur kepada Allah Tuhan yang menjadikan Alam, selawat dan salam ke atas Nabi junjungan Muhammad saw. Terima kasih kepada semua pengunjung blog saya dan saya menghargai anda yang sudi komen segala artikel saya. Saya hargai juga orang yang menegur akan segala kesalahan saya, kerana saya ini manusia biasa dan tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Saidina Ali Bin Abi Talib mengatakan sesiapa yang telah menegurnya, maka beliau menganggap orang yang menegurnya sebagai gurunya walaupun teguran itu satu perkataan sahaja.

Tajuk artikek kali ini ialah untuk membincangkan kelebihan orang yang menunaikan solat fardhu secara berjamaah. Maksud solat berjamaah ialah melakukan solat lebih dari seorang, iaitu melaksanakan solat berjamaah ini mesti sekurang 2 orang ke atas. Kelebihan melaksanakan solat berjamaah ini beza dengan orang yang melakukan solat berseorangan, kerana pahala bagi orang yang melaksanakan solat berjamaah adalah lebih besar dari solat berseorangan. Pahala solat berjamaah ialah sebanyak 27 pahala pada setiap perbuatan (fi’ali) solatnya. Manakala solat berseorangan pahalanya ialah sebanyak 1 pahala sahaja. Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud :
“Solat seorang lelaki beserta dengan seorang lelaki lain lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat seorang diri dan solat seorang lelaki beserta dua orang lelaki lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat dengan seorang lelaki sahaja. Manakala jemaah yang lebih ramai maka jemaah itu adalah lebih dikasihi Allah.”

Hadis di atas ini, menunjukkan bahawa besar pahala bagi orang yang melaksanakan solat secara berjamaah. Jika jemaah itu besar, maka lebih besar pahalanya dan dalam solat berjamaah Allah turunkan malaikat-malaikatnya kepada orang yang solat berjamaah untuk memberikan rahmat kepada peserta solat berjamaah. Orang yang solat berjamaah juga adalah satu lambang perpaduan umat Islam dan satu pasukan bersatu padu dalam satu barisan yang sentiasa bersedia untuk mengorbankan diri ke jalan Allah. Solat berjamaah juga memimpin umat Islam supaya taat kepada ketua (imam) dalam segala arahan yang diberikan oleh imam. Secara tidak langsungnya umat Islam telah diasuh oleh Allah supaya setiasa berada dalam satu barisan.


Sunat muakad dan fardhu kifayah bagi orang Islam melaksanakannya. Maksud sunat muakad adalah suatu sunat yang dituntut, disuruh dan perlu sangat-sangat mengerjakannya. Tuntutan solat berjamaah ini sangatlah berat sehinggakan pada masa zaman Rasulullah pernah memerintahkan sahabatnya mengumpulkan kayu api untuk membakar rumah-rumah orang yang tidak solat berjamaah di masjid. Jadi janganlah diambil ringan dengan solat berjamaah, kerana orang yang tidak solat berjamaah ini adalah orang yang rugi dari segala perkara di dunia dan di akhirat.


Musuh Islam sangat gerun apabila umat Islam melaksanakan solat berjamaah, kerana umat Islam dapat disatukan dalam solat-solat berjamaah dan sekaligus dapat mengumpulkan tenaga untuk menjahanamkan kufar (kafir) yang sentiada mencari jalan menjatuhkan Islam. Mana-mana kampong yang tidak mengimarahkan masjid atau solat berjamaah di rumah, maka kampung tersebut telah dikuasai syaitan dan mudah dipesongkan soleh syaitan. Syaitan tidak akan berputus asa dan tidak akan jemu berusaha untuk merosakkan keturunan adam ataupun manusia. Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud :"Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampong atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”.(Riwayat Abu Dawuud dan AN-Nasai)Orang yang tidak melaksanakan solat berjamaah adalah orang yang munafik kerana orang tersebut tidak mahu menikmati segala kelebihan yang ada pada solat berjamaah. Orang yang munafik ini adalah orang yang merosakkan Islam, orang yang sentiasa melakukan dosa, sentiasa melakukan maksiat dan golongan yang zalim pada dirinya sendiri dan orang yang dalam kerugian. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :"Tidak ada sembahyang yang lebih berat kepada orang munafiqin (untuk dilakukannya secara berjemaah) lebih daripada solat isyak dan subuh. Kalaulah mereka mengetahui (ganjaran pahala) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang sekalipun dalam keadaan merangkak". (Riwayat Bukhari & Muslim)


Kesimpulannya sangat besar ganjaran bagi orang yang menunaikan solat fardhu secara berjamaah dan kerana pahalanya lebih besar iaitu sebanyak 27 pahala. Manakala sangat rugi orang yang solat berseorangan, kerana dia hanya memperolehi 1 pahala dalam perbuatan solatnya. Orang yang melaksanakan solat berjamaah adalah orang yang susah untuk diganggu oleh syaitan, kerana tiada ruang untuk syaitan mendampinginya, sebab itu dalam solat berjamaah perlu dengan barisan yang lurus, tegak, tidak terputus dan tiada ruang yang kosong. Di sinilah berlakunya hubungan silaturrahim antara jemaah tersebut. Maaf di atas segala kekurangan yang ada pada artikel saya kali ini, sesungguhnya segala kelemahan itu datang dari diri saya sendiri dan segala manfaat dan kebaikan datang dari Allah. Sesiapa ada pendapat dan perkongsian boleh meluahkan pendapat melalui ruangan komen yang disediakan di bawah ini.




Niat, Syarat & Cara Solat Jamak & Qasar



Menurut Dato Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat bahawa :

Pengertian solat jamak ialah mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, contohnya mengumpulkan waktu zohor kepada asar atau asar kepada zohor, maghrib kepada isyak atau isyak kepada maghrib. Manakala solat qasar ialah memendekkan solat daripada 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi 2 rakaat ialah solat zuhur, asar dan isyak. Solat jamak atau solat qasar diharuskan kepada sesiapa yang musafir lebih dari 2 marhalah (60 batu) atau lebih 90 KM.
Jamak Taqdim ialah melakukan solat jamak pada waktu yang awal iaitu zuhur dan maghrib. Contohnya solat zuhur dijamakkan dengan asar pada waktu zuhur, solat maghrib dan isyak pada waktu maghrib, maka ini dinamakan solat jamak taqdim.
Jamak Takhir ialah melakukan solat jamak pada waktu yang akhir iaitu asar dan isyak. Contohnya melaksanakan solat zuhur dan asar pada waktu asar, solat maghrib dan isyak pada waktu isyak, maka ini dinamakan solat jamak takhir.
Hikmah solat Jamak dan Qasar adalah untuk mempermudahkan atau memberikan keringanan kepada orang yang musafir lebih dari 2 marhalah. Orang musafir sering mengalami masalah dalam perjalanannya, sukar untuk berhenti solat dan sebagainya, maka dari itulah Allah memberikan kemudahan kepada umat Islam untuk jamak dan qasar solat fardhunya. Tiada alasan lagi bagi orang yang musafir untuk meninggalkan solat fardhu. Hukum solat jamak dan Qasar ini adalah harus, terpulang kepada orang yang musafir untuk mendirikan solat sempurna atau jamak dan qasar, tidak menjadi masalah, nak buat jamak qasar tidak menjadi masalah atau tidak mahu buatpun tidak menjadi masalah. 
  1. Solat pada waktunya yang awal seperti solat zuhur dan maghrib.
  1. Niat jamak pada waktu solat yang pertama.
  1. Berturut-turut antara solat yang pertama dan kedua dan tidak boleh diselangi dengan perbuatan lain dari solat.
  1. Diselangi dengan iqamah dan mengambil wuduk maka jamaknya tidak batal.
  1. Berkekalan musafirnya sehingga solat yang kedua.
  1. Berniat untuk mentakhirkan solat yang pertama pada waktu kedua ketika masuk waktu solat pertama.
  1. Berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat.
Syarat Qasar
  1. Musafir hendaklah tidak bertujuan maksiat.
  1. Perjalanan tidak kurang dari dua marhalah.
  1. Solat yang diqasarkan hendaklah solat zuhur, asar dan isyak sahaja.
  1. Hendaklah diniatkan qasar dalam niat solat.
  1. Tidak boleh berimam orang yang solat penuh (sempurna).
  1. Berkekalan perjalanan sehingga sempurna solat.
  1. Dia tahu orang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.
Niat Solat Jamak dan Qasar

Jamak Taqdim dan Qasar

Zuhur-Asar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya asar tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إلي الظهر أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada zuhur tunai kerana Allah Taala”.

Maghrib-Isyak

أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إليه العشاء أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepadanya isyak tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إلي المغرب أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada maghrib tunai kerana Allah Taala”.

Jamak Takhir dan Qasar

Asar-Zuhur

أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إليه الظهر أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya zuhur tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلي العصر أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada asar tunai kerana Allah Taala”.

Isyak-Maghrib

أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إليه المغرب أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya maghrib tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إلي العشاء أداء لله تعالى

“Sengaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepada isyak tunai kerana Allah Taala”.Cara Mengerjakan Solat Jamak dan Qasar

Di sini saya datangkan cara mengerjakan solat jamak dan qasar berdasarkan penerangan Ustaz Sulaiman Endut dalam bukunya Asas-asas Fardhu Ain, iaitu seperti berikut :
  1. Solat zuhur dan asar itu hendaklah dilakukan dalam waktu zuhur. Kalau jamak takhir hendaklah dilakukan dalam waktu asar.
  1. Berdiri lurus mengadap kiblat.
  1. Berniat hendak mengerjakan solat zuhur secara jamak taqdim dan qasar. Kalau jamak takhir solat jamak dan qasar pada waktu terakhir.
  1. Setelah itu kerjakan solat zuhur sebanyak dua rakaat sehingga selesai memberi salam.
  1. Kemudian berdiri semula untuk mendirikan solat yang kedua iaitu asar.
  1. Berniat untuk mengerjakan solat asar secara jamak takhir.
  1. Kerjakanlah solat asar sebanyak dua rakaat sehingga selesai.
  1. Kalau qasar jamak taqdim atau jamak takhir antara solat maghrib dan isyak, maka hendaklah niatkan solat maghrib secara jamak takdim atau jamak takhir sahaja tanpa menyebut qasarnya.





Cara Qada' Solat Yang Tertinggal



Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah s.w.t. suruh seperti mana yang terdapat di dalam rukun Islam yang ke2. 

Selama kita hidup pernah tak kita tinggal solat? Kita manusia akhir zaman yang lemah imannya, sering kali lalai dalam kewajiban yang Allah s.w.t. suruh. Mungkin kita adalah dalam golongan orang yang pernah tinggal solat baik sengaja ataupun tidak sengaja. Sekarang rasa menyesal itu mungkin mula dirasai oleh kita semua disebabkan dahulunya jahil tentang agama dan sering tinggal solat walaupun sudah aqal baligh dulu.
Alhamdulillah hari ini Allah masih lagi hidupkan kita, mungkin Dia tahu banyaknya dosa kita dan mahu memberi ruang kepada kita untuk bertaubat. Selagi ajal belum tiba eloklah kita semua qada' solat kita yang kita tinggal dulu. Puasa yang ditinggalkan kena ganti, hutang dengan manusia pun kita kena bayar inikan hutang kita dengan Allah s.w.t.

Ok, apa yang mesti kita tahu tentang cara atau bagai mana mahu qada’ solat?

Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada' solat yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada' solat yang sengaja ditinggalkan. Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan istighfar dan bertaubat sahaja.

Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menqada' solat yang ditinggalkan walaupun Baginda s.a.w. tidak tertidur atau terlupa.

Tidak ada qada' dalam solat bukan bermaksud tidak perlu qada' tapi tidak perlu sebut perkataan qada' semasa niat. Qada' ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qada' “waktu kita”.

Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah s.a.w. lupa solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Hadith riwayat Muslim)

Cara niat Qada' bagi solat fardu lima waktu pula ialah:

1. Solat Maghrib:
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”


2. Solat Isyak:
“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”


3. Solat Subuh:
“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

4. Solat Zuhur:
“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

5. Solat Asar:
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala"

Ada orang bertanya : Jika kita tertinggal solat (sengaja dan tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu), perlukah di qada' semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan melakukan solat taubat?

Jawabnya, Wajib qada' solat yang telah tertinggal. Disini ada dua cara untuk qada', pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia telah tinggalkan solat fardhunya, maka qada'kanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya.


Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada' dan berhentilah jika sudah yakin solat itu sudah diqada' kesemuanya. Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardhu lakukan solat qada', buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah.

Selain itu ada juga orang bertanya, jika ditakdirkan meninggal sebelum sempat mengqada' semua solat itu (tetapi sudah buat solat taubat) bagaimana?

Soal jika meninggal sebelum sempat mengqada' kesemua solat itu, semuanya bergantung pada Allah s.w.t, akan tetapi jika kita telah benar2 insaf dan niat untuk qada kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah s.w.t, in sya Allah akan diampuni dosa-dosanya. Untuk pengetahuan semua, qada' solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada Allah s.w.t.


Salam Ukhuwah..~

Ahad, 13 Mei 2012

Cinta Sampai Syurga...



Ya Allah,
damaikan hati yang gundah ini,
sungguh, aku tak dapat menahan rasa cinta ini dari terus berputik,
Kau Maha Tahu akan isi hatiku,
Sampaikanlah rasa cinta ini pada dirinya,
Aku takut apakah cinta ini akan diterima,
Kerna aku hanya orang biasa.
Sungguh terkejut apabila secara tidak sengaja, aku terbaca diari milik sahabat baikku, Damia sewaktu mengemas mejanya semalam. "Isy, biar betul Damia ni jatuh cinta. Siapakah lelaki itu?", gumam hatiku sendirian. Setakat aku kenal, Damia seorang muslimah yang sangat menjaga dirinya daripada terjebak dengan dengan gejala cinta remaja.
Malah, dia sering menasihatiku agar menjaga rasa fitrah ini supaya tidak menjadi fitnah. Aku masih ingat lagi akan pesannya:"Bila mana seorang bayi dilahirkan, telah tercatat di Luh Mahfuz Allah, siapakah jodoh dan ajal mautnya. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa berdoa agar dikurniakan yang terbaik dan diri kita sendiri dahulu perlu menjadi baik. Dalam bulan Islam sendiri ada waktu mustajab doa yang dapat mengubah takdir hidup kita, contohnya waktu lailatul qadar, malam nisfu sya\'ban dan waktu2 mustajab doa yang lain. Percayalah pada qada' qadar Allah. Dia yang telah menciptakan kita dan Dia lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Ramai yang sibuk mencari cinta untuk baitul muslim, tapi tahap pertama iaitu fardul muslim pun masih belum sempurna lagi. Kalau tapak tak kukuh, bagaimana agaknya binaan itu akan teguh?. Jika solat pun sering sahaja kita lengahkan, solat subuh selalu lewat, rasa malas nak buat sesuatu kerja, sikap ammarah pun belum mampu kita kawal, bagaimana agaknya kita nak fikir tentang tahap kedua matlamat umum tarbiyyah (baitul muslim) itu?."
Nasihatnya lagi: "Cinta ini memang fitrah, tapi jangan kita jadikan ia fitnah. Contohnya, bila kita sedang berpuasa, kita disuruh agar tidak mendekati makanan kerana boleh jadi ia membawa fitnah yang boleh membawa kita berbuka puasa. Maka begitu juga CINTA, rasa suka itu fitrah. Jadi, kita dilarang mendekati maksiat seperti zina hati, dating dan bergayut dengannya di telefon agar fitrah itu tidak menjadi fitnah".
Pesanan itulah yang menjadi motivasi bagiku agar tidak terlibat dengan ujian cinta remaja ini. Tapi, kenapa pula dia boleh terlibat dalam kes begini. Patutlah, Damia sering bersendirian sejak akhir-akhir ini. "Mungkin dia ingin mencari kekuatan untuk menghadapi masalah hati ini. Ya Allah, peganglah hatinya agar dia tidak lari jauh dariMu. Dia seorang sahabat yang baik. Kasihanilah dia Ya Allah", doaku pada Allah setulus hati. Benar, Damia seorang sahabat yang sangat baik dan aku terhutang budi padanya kerana dialah insan yang berjaya mengubah hidupku. Teringat kembali peristiwa 2 tahun lepas..
Dulu, aku seorang gadis yang bebas dan tidak terlalu mementingkan Islam.  Aku bertudung, tapi tidak memenuhi syariat yang ditetapkan, banyak pakaianku yang nipis dan ketat.  Aku lebih suka mengikut fesyen terkini berbanding baju kurung, malah sering memandang orang yang berpakaian begitu ketinggalan zaman. Namun, segala-galanya berubah kerana satu insiden yang langsung tidak kuduga. Suatu petang, pintu bilikku rosak dan terkunci dari dalam. Oleh sebab kesempitan waktu dan kuliahku akan bermula 15 minit lagi, aku hanya bercadang untuk meminjam tudung dengan sahabat di depan bilik sahaja. Masya Allah, rupanya kedua-dua orang dalam bilik itu hanya mempunya tudung labuh kerana mereka berdua berasal dari maahad tahfiz. Jadi, dengan berat hatinya, aku memakai tudung labuh itu secara terpaksa. Kemudian, aku terus bergegas ke kuliah walaupun dalam keadaan malu kerana terpaksa berpakaian dengan imej yang kuanggap kolot ini.

Tanpa disedari tiba-tiba, datang sebuah Avanza meluncur laju dari arah hadapan. Aku panik tanpa sempat berbuat apa-apa. Allahuakbar! Nama Allah jua yang terkeluar dari mulut meskipun selama ini aku sering melupakan Allah, sering melengahkan seruan azan memanggil untuk beribadah padaNya. Teringat kembali akan dosa-dosaku selama ini, apakah ajal hidupku makin hampir. Kemudian, aku dapat merasakan tubuhku melayang ke belakang dan dunia tersaa gelap.
Rupa-rupanya, seseorang telah datang menarik aku ke tepi jalan untuk menyelamatkan aku daripada dirempuh. Alhamdulillah, nyawaku masih panjang dan aku terselamat daripada kemalangan itu. Apa yang menarik perhatianku adalah kata-kata sahabat yang menyelamatkanku itu: "Syukurlah. Nasib baik kamu pakai tudung labuh kali ini,kalau tudung singkat, tentu kami tak sempat capai tadi", ujarnya dengan nada cemas. Zupp.. Kata-kata itu cukup menyentap hati. Langsung tak kusangka tudung labuh yang sering kupandang kolot ini telah menyelamatkan nyawaku pada hari itu. Terasa seolah-olah air sejuk yang dingin mengalir tenang dalam diri. Aku menangis di pangkuan perempuan itu, tapi bukan lagi tangisan seperti sewaktu putus cinta dulu, tapi tangisan kerana menginsafi dosa-dosa lalu, menangis tanda syukur kerana Allah masih menyelamatkan nyawa hambaNya yang terlalu banyak dosa. Ya, hidayah Allah boleh datang bila-bila masa sahaja. Bermula dari itu, aku berubah daripada seorang gadis bebas ke arah muslimah yang mengamalkan gaya hidup Islam. Semua ini berkat daripada kata-kata ikhlas seorang sahabat yang telah menyelamatkanku dulu dan dialah, Damia.
"Arin, jauhnya termenung sampaikan saya balik pun tak sedar," tersentak aku bila ditegur oleh Damia yang baru pulang daru kuliah. Lamanya aku termenung. Ingatanku kembali pada diari Damia, nukilan cintanya itu. Ingin sahaja aku bertanya siapakah pemuda itu, tapi niatku itu hanya disuarakan dalam hati kerana menghormati hak privasi dirinya. "Setiap manusia akan diuji", getusku dalam hati.

Keesokan harinya, kami bercadang untuk belajar di perpustakaan kerana peperiksaan tinggal tiga hari lagi. Dalam perjalanan ke sana, kami terserempak dengan sekumpulan anak monyet yang bermain di tepi longkang. Kawasan kampus kami memang menjadi kawasan monyet berkeliaran kerana kedudukannya di tepi hutan. Tiba-tiba, datang seekor anak monyet datang meluru ke arahku, mungkin kerana bajuku berwarna merah yang telah menarik minatnya. Damia cuba membantuku dengan menarik perhatian anak monyet itu ke arah lain. Malangnya, anak monyet itu terus menerkan Damia. Aku panik dan menjerit meminta tolong. Nasib kami amat baik kerana ada seorang pemuda yang melihat kejadian itu dan berjaya menghalau anak monyet itu.
"Damia, awak okey?" tanya lelaki itu.
Damia hanya mengangguk sambil membetulkan bajunya. "Terima kasih, Fahim. Nasib baik awak datang cepat. Kalau tak, habislah kami dikerjakan oleh anak monyet nakal itu."ujar Damia sambil tersenyum.
"Sama-sama. Memang tanggungjawab setiap muslim untuk membantu saudaranya yang dalam kesusahan. Tu lah, awak ni cantik sangat sampaikan anak monyet pun boleh minat", ujar lelaki itu dengan nada bergurau.
"Ya lah tu, Oh, lupa nak kenalkan, ini sahabat baik saya, Arin", Damia memperkenalkan aku pada lelaki itu. Aku hanya tersenyum sambil menundukkan sedikit kepala sebagai tanda hormat. Rupanya, dia adalah pelajar senior tiga tahun lebih tua daripada kami dan belajar dalam kuliah farmasi. Aku jadi pelik melihatkan kemesraan mereka berbual, sedangkan Damia yang aku kenal adalah seorang yang pemalu dengan lelaki ajnabi.
"Apakah pemuda ini yang berjaya mencuri hati Damia?" soalku dalam hati. Setelah mengucapkan terima kasih, Damia meminta izin untuk beredar. Kemudian, kami meneruskan niat kami untuk pergi mengulang kaji di perpustakaan.
Aku mengambil kesempatan itu untuk bertanyakan tentang kandungan dalam diarinya itu, cinta siapakah yang dia sedang harapkan. Damia hanya tersenyum dan tidak menjawab persoalanku, sebaliknya dia berjanji akan memberitahu siapakah si dia setelah aku berjaya menjawab teka tekinya: "Kenapa siput babi berjalan lambat?". Pening kepalaku memikirkan jawapan teka teki tersebut. "Kan siput babi tak ada kaki, tentu dia susah nak berjalan", jawabku dengan penuh yakin. "Salah. Cuba lagi. Kalau dapat jawab, baru saya akan beritahu awak tentang rahsia ini", jawab Mia samba tersenyum memandangku. "Erm, mungkin sebab cengkerang di belakang tu berat hinggakan dia jalan lambat", tekaku lagi. Mia menggeleng kepala menandakan jawapanku salah lagi. "Alah, mana adil. Teka teki Mia selalunya pelik", jawabku tanda tak puas hati. "Nampak sangat mengaku kalah. Kalau begitu, Arin kalah. Saya pun takkan beritahu rahsia itu hingga tiba masanya nanti", ujar Damia lagi. Aku makin keliru dengan kenyataan Damia sebentar tadi, tapi aku menghormati hak peribadinya.
"Ok, saya mengaku kalah. Habis, apa jawapannya?" soalku tidak sabar untuk mengetahui jawapannya. "Sebenarnya, siput babi tu berjalan lambat sebab dia ada masalah keliru identiti. Dia jalan lambat sebab sambil berjalan, dia sedang berfikir: aku ini siput atau aku ini babi?"jawab Damia dengan muka selamba. Aku hanya ketawa mendengarkan jawapan itu. Damia memang seorang yang suka bergurau dan kreatif dengan teka teki nakal yang tak masuk akal. Sikapnya yang peramah menyebabkan dia disukai dan disenangi ramai. Walaupun tampil dengan imej bertudung labuh, dia tetap mesra dengan semua orang dan tidak pernah berasa malu dengan imejnya itu walaupun sering dipandang ekstrem atau kolot oleh sesetengah orang. Aku kagum dengan prinsipnya iaitu kenapa kita perlu berasa malu dan rendah diri kerana berpakaian mengikut syari'at Islam? Kenapa perlu rasa malu untuk berpakaian dengan pakaian seperti ummahatul mukminin?
Sepanjang hujung minggu itu, kami manfaatkan masa sebaiknya untuk mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir sem tak lama lagi. Walau bagaimanapun, kami tak lupa untuk solat berjema'ah, baca Al Ma'thurat dan qiamullail bersama-sama. Alhamdulillah. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan teman sebilik yang sentiasa bersama dalam senang mahupun susah dan sentiasa mengingatkan aku tentang akhirat. Merekalah sahabat dunia akhirat: Damia, Husna dan Anis.
Masa yang dinantikan telah tiba. Kami akan bercuti selama sebulan setelah 4 bulan bertungkus lumus menuntut ilmu di bumi kampus ini. Setelah keluar dari dewan peperiksaan, kami berempat menuju ke kafe berdekatan untuk mengisi perut yang berkeroncong sejak pagi tadi. Sewaktu makan, Damia menjemput kami ke rumahnya pada hari Khamis minggu depan kerana ada majlis katanya. "Majlis apa Mia?" soal Husna meminta kepastian. "Majlis doa selamat dan solat hajat. Insya Allah, 2 minggu lagi saya akan sempurnakan separuh daripada agama ni".Tersedak aku apabila mendengarkan perkara itu, "Apakah sangkaanku selama ini benar? Mia nak kahwin ke?" persoalan demi persoalan muncul di fikiran. "Insya Allah, korang semua akan tahu nanti. Tak 'surprise'lah kalau saya beritahu sekarang", Damia hanya tersenyum sambil memandang kami bertiga.

Seminggu kemudian, kami bertiga telah berpakat untuk pergi bersama ke rumah Mia yang terletak di Ipoh. Dalam perjalanan ke sana, aku menceritakan pada Husna dan Anis tentang nukilan cinta Damia dalam diarinya itu. Mereka terkejut mendengarkan hal itu dan menceritakan bahawa mereka juga pernah melihat Damia keluar ke bandar bersama keluarga Fahim, lelaki yang pernah menolong mereka dahulu. Kami makin tidak sabar untuk mengetahui kisah yang sebenar daripada mulut Damia sendiri. Apalah rahsia di sebalik semua ini.

Sesampainya di sana, ramai orang yang telah berkumpul di ruang tamu. Mia menyambut kami dengan senyuman yang lebar, senyum bakal pengantin katakan. Tiba-tiba, kami ternampak kelibat seorang lelaki yang agak 'familiar'. "Anis, bukankah itu Fahim? Biar betul mereka berdua ni?", soal Husna pada Anis. Kami benar-benar terkejut melihat Fahim dan keluarganya dalam majlis itu. Benarlah sangkaan kami selama ini, mereka berdua bakal bersatu.
"Mia, sampai hati tak beritahu kami. Dengan kawan sebilik pun nak berahsia. Tak awal sangat ke?", tanyaku pada Mia. "Nak buat macam mana, dah sampai seru. Rezeki Allah tak boleh ditolak. Insya Allah, nanti kalian pula yang akan menyusul. Saya doakan", Damia menjawab dengan senyum yang penuh makna. "Allahumma amin. Apa pun, tahniahlah Damia. Tak sangka langsung bahawa Fahim yang berjaya curi hati Mia", aku menepuk belakang Mia sebagai tanda sokongan seorang sahabat. Tapi, aku terkejut dengan reaksi Damia. Dia ketawa terbahak-bahak lalu memanggil Fahim yang sedang mengangkat gelas ke ruang tamu. Pelik dan hairan. Apa yang sangat melucukan sehinggakan Fahim pun turut ketawa setelah Damia memberitahunya perihal kata-kataku sebentar tadi.
"Oh, kiranya kamu semua ini ingatkan saya dan Mia bakal bertunang ke?" soal Fahim sambil menahan tawanya. Kami pelik seraya mengangguk. "Apa sebenarnya perkara yang melucukan hati mereka?", masing-masing mengerutkan dahi kehairanan. Kami bertiga diam tanpa suara. Suasana menjadi sunyi seketika, lalu Damia pun bersuara, "Anis, Arin, Husna. Saya minta maaf. Langsung tak ada niat nak bohongi kalian. Saja terdetik idea nakal untuk kenakan kalian semua. Jangan salah sangka, memang saya nak sempurnakan agama ni kerana 2 minggu lagi, saya akan berangkat untuk menunaikan umrah. Bukankah umrah itu salah satu kewajipan bagi tiap muslim sekali seumur hidupnya?". Masya Allah, patutlah mereka tak berhenti ketawa, rupanya kami dah tersalah sangka. "Tapi, apa kaitannya dengan Fahim? Kenapa Fahim boleh berada di sini? Baik sangat Fahim dengan keluarga Damia, macam ada apa-apa je", soal Husna meminta penjelasan. "Sebenarnya Mia ni anak sepupu saya. Sebab itulah kami rapat. Kamu semua ni kelakar lah, lain kali jangan cepat sangat serkap jarang. Tanya tuan punya badan dulu", nasihat Fahim pada kami bertiga. Kami hanya tersenyum malu, tanda mengaku salah.
"Habis tu, nukilan cinta jiwang yang awak tulis dalam diari itu untuk siapa?", soalku pada Mia kerana teringatkan diarinya itu. Mia hanya tersenyum sambil berkata, "Sebenarnya itu adalah sajak yang saya tulis sebagai tanda cinta seorang umat untuk Rasulullah, cinta sampai ke syurga. Nukilan itu saja ditulis kerana saya dah tak sabar untuk jejakkan kaki di Masjid Nabawi dan menjadi tetamu Rasulullah nanti", terang Damia panjang lebar. Allahuakbar. Kami benar-benar berasa malu pada malam itu. Mati-mati kami ingatkan Damia akan bertunang, semuanya bermula gara-gara nukilan cinta dalam diarinya. Tambahan pula, Damia ini sengaja hendak kenakan kami."Pandai Mia kelentong kitorang. Dah sampai seru la, nak sempurnakan separuh dari agama la. ehmm, macam-macam", giliran kami bertiga pula berleter pada Si Mia. Lucu bila teringatkan kisah ni. Ingatkan jatuh cinta pada sang teruna mana, rupanya jatuh cinta pada Rasulullah insan mulia. Cinta seorang umat sampai ke syurga, moga beroleh syafaat di akhirat sana.

CINTA SAMPAI KE SYURGA
Ya Allah,
Damaikan hati yang gundah ini,
Sungguh, aku tak dapat menahan rasa cinta ini dari terus berputik,
Kau Maha Tahu akan isi hatiku,
Sampaikanlah rasa cinta ini pada dirinya,
Aku takut apakah cinta ini akan diterima,
Kerna aku hanya orang biasa...
Ya Allah,
Hidupkan hatiku dengan kehidupan hati kekasihMu,
Hidupkan rohku dengan kehidupan roh kekasihMu,
Hidupkan akalku dengan kehidupan akal kekasihMu,
Hidupkan keperibadianku dengan keperibadian kekasihMu,
Hidupkan jasadku dengan adab, sunnah dan hukum hakam kekasihMu,
Hidupkan seluruh kehidupanku dengan kehidupan seluruh diri kekasihMu
Ya Allah,
Aku akan menziarahi masjid tempat kekasihMu bersemadi,
Datang kerana rindu dan cinta pada kekasihMu,
Datang kerana ingin beribadah di masjid mulia itu,
Terimalah aku sebagai tetamu bumi barokah itu,
Sampaikan rasa cinta ini pada kekasihMu Ya Allah,
Moga cinta ini mampu membawaku ke syurga.

Sabtu, 12 Mei 2012

Akibat Bagi Suami Makan Darah Haid Dan Air Mani


Ini ada satu cerita yang perlu di baca oleh semua orang khususnya kepada pasangan yang dah berumah tangga, yang bakal mendirikan rumah tangga juga boleh di baca sebagai pedoman dan kesejahteraan bersama..


sekadar gambar hiasan

Cerita bermula..Lama benar saya tidak berjumpa dengan Ariffin. Rasanya sudah lebih Tujuh tahun sejak kawan lama saya itu di arahkan mengajar di Johor. Kerana itulah, apabila dia datang ke pejabat saya pagi itu, saya Merasa terlalu seronok.

“Eh, makin kurus nampak. Diet ke?” kata saya setelah mempersilakannya duduk.

“Tak adalah. biasa la cikgu, kan sekarang ni macam-macam kerja. Kurikulumlah, kokurikulumlah, sukanlah. badan gemuk pun boleh jadi Tinggal tulang,” balas Arifin.

“Tengok ni ustaz, baju pun dah menggelebeh. Seluar pun longgar,” Tambah Arifin sambil menarik lengan baju untuk menunjukkan betapa Kurusnya dia dan besarnya baju yang di pakai.

Selepas bertanya itu ini dan mengusiknya serba sedikit, saya bertanya Arifin tentang hajatnya datang menemui saya. Yalah, tiba-tiba saja Muncul, pasti ada hajat yang hendak di sampaikan.

“Orang rumah saya sakitlah, ustaz”, kata Arifin.

“Patutlah aku tengok engkau lain macam aja tadi. Ketawa pun hendak Tak hendak. Sakit apa?” saya bertanya. Agak lambat Arifin menjawab. Dia menarik nafas, kemudian meraup muka dan seterusnya bersandar di Kerusi. Setelah itu disorotnya mata saya dalam-dalam.

“Entahlah.” katanya perlahan,

” Lima tahun lalu tiba-tiba saja badan dia melepuh-lepuh. Di kaki, Paha, perut, dibelakang. penuh dengan lepuh macam orang terkena air Panas,”kata Arifin.

Tambah kawan lama saya itu, dia telah membawa isterinya, Niza, ke Serata hospital dan klinik, namun ubat yang di beri oleh doktor tidak Dapat melegakan penyakitnya.

“Sakit apa, doktor pun tak tau,”tambahnya.

“Dah pergi berubat kampung?”saya bertanya.

“Dah,tapi macam biasalah. bomoh, cakap kena buat orang, terceroboh Kawasan orang bunian., sampuk. macam-macam lagi. Duit banyak habis, Masa terbuang, tapi sakitnya tak juga sembuh,”jelas Arifin.

Malah, kata kawan saya itu, lepuh-lepuh menjadi bertambah banyak pula Hingga tubuh isterinya yang langsing menjadi sembab. Wajahnya yang Cantik juga berubah murung, kusut

“Itu masih tak mengapa ustaz. Yang menambahkan kebimbangan saya, Setelah beberapa lama, lepuh-lepuh itu bertukar pula jadi gerutu dan Berbintil-bintil macam katak puru,” tambah Arifin.

Akibatnya, sekali lagi Niza menderita kerana selepas tubuhnya hodoh Akibat sembab, seluruh kulitnya yang dulu licin menjadi jelik. Dari tangan, bintil-bintil kecil dan besar seperti bisul tumbuh merata, kaki hingga ke muka.

Disebabkan penyakit itu, kawan-kawan yang datang melawat terkejut kerana hampir tidak mengenalinya lagi. Akibatnya, Niza terpaksa berhenti kerja. Dia malu untuk berhadapan dengan kawan sepejabat.

Memang ada yang bersimpati tapi ada juga yang mengejek. Ramai yang menyindir di belakang, tapi ada juga yang tanpa rasa bersalah mengaibkannya secara berhadapan.

Dua tiga tahun berlalu, penyakit Niza bertambah parah. Sehelai demi sehelai rambutnya gugur hingga hampir botak. Rambut yang lembut mengurai menjadi jarang hingga menampakkan kulit kepala yang memutih. Keadaannya itu sangat menyedihkan kerana usia awal 30an, rambutnya seperti wanita berumur 90an. Seperti daun getah luruh di musim panas, semakin hari semakin banyak rambut Niza gugur. Dalam waktu yang sama, kuku tangan dan kakinya juga menjadi lebam. Daripada biru, ia bertukar kehitaman seperti di penuhi darah beku.

“Tiap hari, dia termenung. Dia mengeluh, kenapalah dia sakit macam ni. Kenapa dia, bukan orang lain? Apa salah dia? Kasian betul saya tengok,” kata Arifin. Wajahnya sayu

“Hidup kami pun jadi tak terurus macam dulu”.

Di sebabkan doktor tempatan gagal menyembuhkan penyakit Niza, Arifin membawa isterinya ke Singapura. Hampir sebulan mereka di sana dan banyak wang di habiskan namun pulang dengan hati kecewa. Doktor di negara itu juga tidak dapat mencari penawar keadaan penyakit berkenaan.

“Sekarang ni, keadaan isteri saya dah bertambah teruk. Bila malam saja dia meraung, meracau dan menangis-nangis. Jadi, saya harap ustaz dapatlah tolong serba sedikit sebab dah habis ikhtiar saya mengubatnya cara moden,”tambah Arifin.

“InsyaAllah.” Balas saya.

Tapi saya mula terasa pelik. Perasaan ingin tahu mula bercambah kerana berdasarkan pengalaman, kata-kata yang diluahkan semasa seseorang yang meracau dapat membantu kita merawatnya. Ini kerana semasa meracau itulah dia meluahkan segala yang terbuku di hati.

“Apa yang dia cakap masa meracau tu?”

“Macam-macam ustaz. tapi ada waktunya dia minta ampun maaf daripada saya. Saya tanya kenapa? . Dia tak cakap, Cuma minta maaf saja. Yalah. orang dah sakit memang macam tu,”kata Arifin.

Saya cuma mendiamkan diri. Mengiakan tidak, menggeleng pun tidak. Setelah berbincang lama, dia meminta diri . Sebelum pulang, saya berjanji untuk ke rumah Arifin pada malam esoknya.

“Datang ya, ustaz . Saya tunggu,”katanya sambil mengangkat punggung.

Dia kemudiannya melangkah lemah meninggalkan pejabat saya. Seperti yang dijanjikan, saya sampai ke rumahnya selepas isyak.

“Jemput masuk ustaz,”Arifin memperlawa sambil membawa saya ke sebuah bilik.

“Dia baring dalam bilik ni. Ustaz jangan terkejut pula tengok muka dia. Orang rumah saya ni sensitif sikit,” bisiknya sebelum kami masuk ke bilik berkenaan.

Sebaik pintu di buka, kelihatan seorang wanita berselimut paras dada terbaring mengiring mengadap ke dinding.

“Za. Ni Ustaz Nahrawi datang,”kata Arifin perlahan sambil memegang bahu isterinya. Dengan lemah, Niza menoleh. MasyaAllah memang keadaan Niza sangat menyedihkan . Wajahya penuh dengan bintil-bintil yang menggerutu. Matanya terperosok ke dalam manakala tulang pipi membojol seperti bongkah batu yang membayang dipermukaan tanah. Badannya pula kurus cengkung dan kepala separuh botak menandakan dia sudah lama menderita. Niza cuma tersenyum tawar memandang saya. Saya dekati dia dan selepas lima minit meneliti keadaannya, saya panggil Arifin ke sudut bilik.

Dengan suara separuh berbisik, saya bertanya;”Pin, saya nak tanya sikit, tapi sebelum tu minta maaflah kalau nanti awak tersinggung”.

“Tak adalah,ustaz. Tanyalah, saya tak kisah,” jawab Arifin.

“Err,. dari mana datangnya bau yang.” soal saya, tapi tak sanggup nak menghabiskannya. Bau yang saya maksudkan itu agak busuk.

“Ooo. mmm, dari alat sulit dia,”kata Arifin perlahan.

“Keluar lendir bercampur nanah.”

Saya tidak memanjangkan lagi topik itu kerana tidak mahu memalukanArifin dan isterinya. Lagi pun tidak manis untuk bertanya tentang hal- hal yang seperti itu.

Sebelum kami duduk semula di sisi Niza, saya memberitahu Arifin, kadangkala di timpa penyakit sebegini sengaja di turunkan balasan oleh Allah kerana ada melakukan dosa atau derhaka kepada ibu atau bapa. Lantas saya bertanya, adakah Niza sudah meminta ampun daripada ibu bapanya.

“Sudah ustaz. Dengan emak dan ayah nya saya pun sudah.”

“Kalau macam tu, baguslah,”kata saya.

Setelah merawat Niza dengan doa dan ayat yang dipetik dari al-Quran, saya meminta diri. Sebelum itu saya nasihatkan Arifin dan Niza serta keluarga mereka supaya bersabar dengan ujian Allah.

“Sama-samalah kita berdoa supaya dia sembuh,” kata saya sebelum meninggalkan rumah Arifin.

Sudah ketentuan Allah, rupa-rupanya keadaan Niza menjadi bertambah parah. Perkara ini saya ketahui apabila Arifin menghubungi saya beberapa minggu kemudian. Menurut kawan saya itu, isterinya kini kian teruk racaunya.

Memang benar. Bila saya menziarahnya petang itu, Niza kelihatan semakin tenat. Sekejap-sekejap dia meracau yang bukan-bukan. Malah saya pun tidak dikenalinya lagi.

Sebelum pulang saya menasihatkan Arifin supaya melakukan solat hajat memohon ke hadrat Ilahi supaya menyembuhkan isterinya. Nasihat saya itu dipatuhi namun beberapa hari kemudian Arifin menalifon lagi. Kali ini suaranya lebih sedih, seperti hendak menangis.

“Ustaz,”katanya,

“Sekarang barulah saya tau kenapa dia jadi macam tu”

“Kenapa?”pantas saya bertanya…

“Sejak dua tiga malam lepas, dia minta ampun daripada saya dan ceritakan segala-galanya”. Arifin menyambung ceritanya;

Malam itu saya terkejut sebab semasa meracau isteri saya minta ampun kerana telah mengenakan ilmu kotor kepada saya. Kata Niza, dia telah memasukkan darah haid dan air maninya ke dalam makanan saya.

Saya tanya “Kenapa?”

Dia jawab, supaya ikut kata-katanya dan tak cari perempuan lain.

“Tambah saya kesal, selepas itu dia meminta ampun pula kerana telah berlaku curang kepada saya. Kata Niza, dia lakukan perbuatan tu selepas saya ditundukkan dengan ilmu hitam.”

Saya tanya, masa bila awak buat? Dia jawab semasa ketiadaan saya, tidak kira lah semasa saya bertugas di luar daerah. Semasa keluar seorang diri, dia telah membuat hubungan sulit dengan beberapa lelaki.

“Niza sebutkan nama lelaki-lelaki itu, tapi saya tak kenal. Kata Niza, hubungan mereka bukan setakat kawan saja, malah sudah ke tahap zina. Kerana itu dia minta berbanyak-banyak ampun daripada saya.

Dia minta saya maafkan.”Saya tak sangka betul, ustaz. Madu yang saya beri, racun yang dibalasnya. Patutlah selama ini bila berdepan dengan dia saya jadi hilang pertimbangan. Saya jadi lemah, rasa diri saya kerdil, takut nak membantah. Sudahlah begitu, dia jadi perempuan.” Kata Arifin tanpa sanggup menghabiskan kata-katanya. Termenung saya mendengar ceritanya itu.

Tidak saya sangka Niza sanggup berkelakuan demikian kerana Arifin bukan orang sebarangan. Arifin berpelajaran agama dan setia kepada isterinya. Budi bahasa pun elok.

“Kalau sudah begitu bunyinya, saya rasa awak maafkanlah dia,”kata saya.

Selain itu saya mencadangkan kepada Arifin supaya merelakan isterinya pergi.

Kata saya, mungkin nyawa isterinya itu terlalu sukar meninggalkan jasad kerana dia mahukan keampunan daripada suaminya terlebih dahulu.”

Lagipun, dia sudah terlalu menderita, sampai badan tinggal tulang, kepala pun dah nak botak. Doktor pula sudah sahkan penyakit dia tidak dapat disembuhkan lagi. Jadi, pada pandangan saya, daripada dia terus azab menanggung seksaan sakaratulmaut, adalah lebih baik kalau awak relakan saja dia pergi.

Saya tau ia susah nak di buat, tapi keadaan memaksa.”

“Ampunkan dia?” Arifin bertanya balik.

“Dia dah derhaka dengan saya, buat tak senonoh dengan lelaki lain, kenakan ilmu sihir kepada saya, ustaz mau saya maafkan dia?”tingkah Arifin dengan suara yang agak keras.

Mungkin dia terkejut.

“Ya. dia pergi dengan aman dan awak pula dapat pahala,” jelas saya. Saya terus memujuknya supaya beralah demi kebaikan isterinya. Saya katakan, yang lepas itu lepaslah. Lagi pun Niza sudah mengaku dosanya, jadi adalah lebih baik Arifin memaafkannya. Mungkin dengan cara itu Niza akan insaf dan meninggal dengan mudah.

“Takkan awak nak biarkan dia menderita? Awak nak pukul dia? Maki dia? Tak ada gunanya. Maafkan saja dia dengan hati yang benar-benar ikhlas,” jelas saya.

Setelah puas memujuk, akhirnya Arifin mengalah juga. Lalu saya nasihatkan supaya dia bacakan surah Yasin tiga kali dan ulangkan ibu Yasin (salaamun qaulam mirrabir rahim) sebanyak tujuh kali.

“Buat malam ni juga. Lepas itu tunaikan solat,” kata saya. Seminggu kemudian Arifin menelefon saya. Dengan sedih beliau memaklumkan isterinya sudah meninggal dunia. Tambah kawan saya itu, Niza pergi tanpa sesiapa sedari kerana ketika itu dia sedang menunaikan solat Isyak. Bila kembali, dia lihat isterinya tidak bernyawa lagi.

“Tapi Alhamd ulil lah, sebelum pergi dia sempat minta ampun daripada saya sekali lagi kerana menderhaka. Marah, memang marah, tapi bila dia pegang tangan saya sambil menangis dan kemudian minta ampun, tidak sanggup juga rasanya untuk membiarkan dia pergi dalam keadaan tanpa kemaafan daripada saya. Ustaz, saya dah ampunkan dia.

“Namun demikian, kata Arifin, lendir dan nanah busuk masih lagi mengalir daripada alat kelamin Allahyarham isterinya itu sehinggalah mayatnya dikebumikan.


P/s : Kepada wanita, kutiplah pengajaran dari cerita ini. Kepada lelaki, hati-hatilah dalam memilih isteri, jangan pandang hanya pada rupa..